Tersebutlah kisah seorang hamba yang percaya bahawa kerja keras pasti membawa kejayaan.
Maka setiap hari dia bekerja dari terbit matahari sehingga terbenamnya senja, kerana dia percaya suatu hari nanti segala pengorbanannya akan mengubah nasibnya.
Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan Si Pengampu yang bermulut manis dan petah berbicara. Dia tidak bekerja sekeras dirinya, tetapi pandai mengambil hati Baginda di istana.
Tiba-tiba satu hari, Baginda mengumumkan bahawa Si Pengampu dinaikkan pangkat, manakala hamba pula diberikan lebih banyak kerja.
Hamba berasa lemah dan tidak mampu bersuara. Dia hanya mampu menjerit, “Ini tidak adil! Ini tidak adil!” berulang-ulang di dalam kepalanya.
Namun hamba itu tidak berputus asa. Dia tetap percaya bahawa dia akan dapat mengubah nasibnya.
Dia terus bekerja keras, tetapi kali ini dia juga belajar bercakap, membina hubungan, dan membawa dirinya dengan lebih bijaksana.
Pada suatu hari, sebelum sempat Baginda mengurniakannya jawatan yang diimpikan, datanglah utusan dari sebuah istana di hujung tanjung.
(jeng jeng jeng)
Raja di sana melihat nilai hamba yang selama ini tidak pernah dipandang oleh Baginda, lalu mengajak hamba lompat ke istananya.
Maka hamba itu pun meninggalkan istana tersebut, berpindah ke istana baharu, dan hidup bahagia selama-lamanya di bawah pemerintahan raja yang lebih menghargai jasanya.
Sekianlah cerita dongeng kerja keras hari ini.
(Sila tepuk sekarang, terima kasih)